MELAKA – Seorang pesakit yang cedera parah ketika dibawa dengan ambulans yang dirempuh sebuah teksi di persimpangan lampu isyarat persimpangan Seri Negeri di sini Isnin lepas, meninggal dunia di Hospital Melaka hari ini.
Mariam Baba, 73, dari Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai meninggal dunia kira-kira 9.10 pagi.
Zaidi Senan, 43, anak bongsu kepada Mariam memberitahu pemberita di hospital, ibunya mati setelah menerima rawatan lanjut.
"Sebab kematian tidak diketahui kerana masih menunggu jenazah yang akan dibedah siasat,” katanya yang merasa terkilan dengan kematian ibunya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Mariam, seorang pesakit kritikal yang dilaporkan sebagai mangsa samun dan dua lagi termasuk seorang doktor dan jururawat mengalami cedera parah ketika dalam perjalanan dari Hospital Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, ASP V. Gunasegaran berkata, sebuah teksi telah merempuh ambulans berkenaan menyebabkan ia hilang kawalan dan terbalik. – Bernama
(Gambar hiasan)
Comments (0)
Catat Ulasan