SHAH ALAM: Konsep ‘Berpuasa dan Berhari Raya Sambil Meminjam’ menjadi antara pakej terbaru golongan along atau pemberi pinjaman wang haram yang dikesan mulai berleluasa menjelang musim perayaan di bandar raya ini.
Keghairahan ejen along memasang poster pakej itu di beberapa kawasan seperti Seksyen 25, 28, 30 dan 32, di sini, dilihat seolah-olah mencemar dan mengusik sensitiviti umat Islam yang masih menunaikan ibadat puasa di pertengahan bulan Ramadan.
Beberapa penduduk menyifatkan selain tidak beradab, perbuatan along menampal poster menawarkan pinjaman khas untuk puasa dan hari raya itu mesti diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penduduk Seksyen 25, Nikmat Hashim, 48, mendakwa sehingga semalam, dianggarkan ratusan poster berkenaan boleh ditemui di sekitar bandar raya dipercayai dipasang kumpulan pekerja along terbabit.
“Kami mohon sangatlah kepada pihak berkuasa memandang serius perkara ini. Ini kerana along semakin biadab dan tidak tahu menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang sedang berpuasa.
“Mereka berebut-rebut memasang poster itu, seolah-olah menyifatkan semua umat Islam terlalu miskin dan akan mengharapkan pinjaman mereka untuk meraikan ibadat puasa atau sambutan Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro semalam mendapati dakwaan penduduk ada kebenarannya apabila poster menawarkan pinjaman sempena Ramadan dan Syawal itu boleh ditemui di beberapa kawasan di bandar raya ini.
Malah, poster serupa turut ditemui dipasang hanya kira-kira 250 meter dari pejabat cawangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Kota Kemuning, dekat sini. -hmetro
Comments (0)
Catat Ulasan